Monday, 16 July 2018

tiga

aku bukanlah penggemar tegar buah durian namun ada ketika tatkala datang keinginan untuk makan durian maka kaki pun melangkah mencari meskipun hanya dapat merasa barang seulas. alkisah tiga empat hari lepas keinginan untuk makan durian membuatkan aku tercari-cari gerai durian yang menawarkan harga berpatutan. paling murah yang aku jumpa sekilo RM10. bagi anak kelahiran 80an dan 90an, mungkin anda masih ingat dahulu durian dijual berdasarkan bakul atau longgok.

pada fikiranku sebiji durian sahaja sudah mencecah hampir dua kilo lalu keinginan tu aku pendamkan. semalam iparku datang ke rumah menghantar sebekas durian yang siap dikopek kiriman dari mertua. aku terpana. hati kecil terus menatap dan menadah syukur ke hadrat Allah, tu(h)an pemilik sekalian alam kerana kasih sayangNya yang melimpah ruah ke atas hamba-hambaNya meskipun ada hamba itu tak pernah peduli akan sayangNya itu.

lalu aku katakan pada isteri "Allah itu maha mengerti. baru dua tiga hari lepas rasa nak makan durian. hari ni Allah hantar durian yang siap dikopek tanpa kita keluar rumah, tanpa perlu pun mencari. inilah perjalanan rezeki. ada yang kena mencari ada yang datang mencari. semuanya tanda sayang Allah pada kita. Alhamdulillah."

"Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada." QS 67:13

No comments:

Post a Comment