Thursday, 26 July 2018

empat

Minggu lepas ketika aku sedang menikmati juadah tengah hari di kedai Pak Atan, telingaku menangkap perbualan dua orang tua di meja sebelah. Seorang tu Uncle Ahsan lagi seorang Alang Baki. Uncle Ahsan, berseluar pendek berbaju T kosong merah bekerja sebagai peraih ayam dan gemar menghisap cerut cap layang-layang. Alang Baki berketayap putih memakai baju T hijau bercorak flora dan berseluar hitam senteng. Alang Baki seorang petani yang mengusahakan tanaman pisang dan ubi.

"eh Alang, apa pasal melayu basuh bontot guna air? tak boleh guna benda lain ka?"
"guna air lebih bersih." jawab Alang Baki sambil menyelak surat khabar.

"kenapa ha? wa guna tisu pun bersih maa."
"Ahsan, lu mandi guna apa? basuh baju guna apa?"

"guna air loo."
"kenapa lu tak guna tisu? lu cakap bersih jugak maa."

Aku tergelak. Uncle Ahsan terdiam. Beberapa minit kemudian dia bangun lalu membayar minumannya dan pergi. Aku pula menghabiskan baki makananku tiba-tiba bahuku ditepuk. 

"nak beragama semua orang boleh beragama. tapi tanyalah diri kita. apakah kita beragama ikut ikutan? atau hanya sebab keturunan? cari, gali ilmu agar kita faham untuk apa syariat itu wajib ditegakkan." kata Alang Baki sambil tersenyum. Aku pun membalas senyumannya.

"Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?"  QS 2:170

Monday, 16 July 2018

tiga

aku bukanlah penggemar tegar buah durian namun ada ketika tatkala datang keinginan untuk makan durian maka kaki pun melangkah mencari meskipun hanya dapat merasa barang seulas. alkisah tiga empat hari lepas keinginan untuk makan durian membuatkan aku tercari-cari gerai durian yang menawarkan harga berpatutan. paling murah yang aku jumpa sekilo RM10. bagi anak kelahiran 80an dan 90an, mungkin anda masih ingat dahulu durian dijual berdasarkan bakul atau longgok.

pada fikiranku sebiji durian sahaja sudah mencecah hampir dua kilo lalu keinginan tu aku pendamkan. semalam iparku datang ke rumah menghantar sebekas durian yang siap dikopek kiriman dari mertua. aku terpana. hati kecil terus menatap dan menadah syukur ke hadrat Allah, tu(h)an pemilik sekalian alam kerana kasih sayangNya yang melimpah ruah ke atas hamba-hambaNya meskipun ada hamba itu tak pernah peduli akan sayangNya itu.

lalu aku katakan pada isteri "Allah itu maha mengerti. baru dua tiga hari lepas rasa nak makan durian. hari ni Allah hantar durian yang siap dikopek tanpa kita keluar rumah, tanpa perlu pun mencari. inilah perjalanan rezeki. ada yang kena mencari ada yang datang mencari. semuanya tanda sayang Allah pada kita. Alhamdulillah."

"Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada." QS 67:13

Thursday, 12 July 2018

dua

cuaca petang tu cukup menenangkan. aku yang sedari tadi menikmati kopi dan pisang goreng dipangkin sambil melepaskan lelah setelah selesai menanam anak pisang dikebun. angin yang bertiup dari barat daya menyinggah ke muka membuatkan mata semakin layu. baru sahaja aku hendak merebahkan badan atas pangkin aku lihat dua kelibat orang berlari kencang sambil menjerit "lari! lari!" 

aku menegakkan badan. kemudian di belakang dua orang itu terlihat abu husin berlari-lari anak, pemuda kampung berperangai gila-gila yang kerjanya menyakat orang-orang kampung. aku menggamit abu husin.

"kenapa tu?" tanyaku.

"tadi aku tengok pak abas dengan tok siak kusyuk sangat main dam haji kat bawah pokok ketapang depan rumah pakcik said. aku pun lari laju-laju sambil jerit 'lari! lari! hari-mau hari-mau'. apalagi kelam kabut diorang lari siap pintas aku padahal aku belum habiskan ayat aku lagi." cerita abu husin.

memang semenjak dua menjak ni ada orang kampung ternampak kelibat harimau merayau-rayau di hujung kampung. barangkali harimau sesat. tapi tak ada lagi kes melibatkan serangan harimau.

"apa ayat kau yang belum habis tu?

"hari-mau malam" balas abu husin sambil tersengih macam kerang busuk. hai la abu husin, tak kira tua muda semua kau nak kenakan.

aku cuit bahu abu husin sambil berbisik "kalau orang-orang tua tu mati sesak nafas kejap lagi, aku lapor kau dekat balai". muka abu husin berubah resah.


Tuesday, 3 July 2018

satu

tatkala hujan menghambur ke daun tingkap nako yang sedikit terbuka menghasilkan tempias mengenai muka supian. namun dibiarkannya. di jarinya terselit sebatang rokok berjenama 'murah' yang telah separuh dibakar. jauh renungan supian menyelinap di antara lipatan perjalanan hidupnya yang sudah tertinggal dibelakang. banyak sungguh kenangan yang datang bertamu. ada yang menggelikan hati, ada yang memalukan muka, ada yang mendatangkan bara di dada, ada yang membuatkan supian tersenyum bahagia. nikmat rasanya bila sesekali menoleh kenangan-kenangan lama yang ditinggalkan namun tetap utuh dalam kotaknya kenangan.

dalam khayal melayari bahtera kenangan, radio usang milik supian sibuk memutarkan lagu-lagu pilihan dj dan serangkap lirik melintasi telinga supian.

sujudku pun takkan memuaskan inginku
'tuk hanturkan sembah sedalam kalbu
adapun kusembahkan syukur padamu ya Allah
untuk nama, harta dan keluarga yang mencinta
dan perjalanan yang sejauh ini tertempa
Alhamdulillah pilihan dan kesempatan
yang membuat hamba mengerti lebih baik makna diri
semua lebih berarti akan mudah dihayati
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...


 mata supian mengalirkan air jernih dan tanpa berlengah dia menadah doa dalam hati.